Zakat Fitrah


Bismillahirrahmanirrahim.
Masya' Allah Tabarakallah.

Sudahkah anda membayar zakat fitrah?
Jangan ditangguh sekiranya anda belum menunaikan kewajipan berzakat.

Kadar Zakat Fitrah di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2024 bersamaan 1445 Hijrah adalah mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.

Penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Selangor pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

Kadar zakat fitrah RM7 seorang adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian beras jenis ‘super special’ tempatan dan ia merupakan kadar wajib minima sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Manakala kadar RM14 seorang adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi. Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2018 lagi.

Sehubungan itu, LZS memperkenalkan tiga jenis kupon fitrah berwarna bersandarkan nilai mata wang ringgit Malaysia. Kupon fitrah berwarna hijau bernilai RM7, kupon berwarna merah bernilai RM14 dan kupon berwarna oren bernilai RM21.

Di samping itu, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat. Antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian adalah melalui:

1. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my

2. Perbankan internet

3. Portal MyEg

4. Pos Online

5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

Sah ke Bayar Zakat Online?
SAH zakat fitrah yang dibayar secara atas talian/online kerana akad yang berlaku dalam keadaan tersebut mempunyai gambaran akad secara tulisan yang dipersetujui para ulama tentang keabsahannya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama